Ahad, 14 Julai 2013

Lorenzo ditimpa kemalangan lagi


SACHSENRING, Jerman - Juara MotoGP dunia, Jorge Lorenzo terkeluar daripada Grand Prix Motosikal Jerman di Sachsenring hari ini selepas terbabit dalam kemalangan pada sesi latihan semalam, hanya dua minggu selepas patah tulang selangka akibat kemalangan di GP Belanda. 

Pelumba Sepanyol itu, yang memerlukan pembedahan bahu kiri akibat kemalangan di Assen dua minggu lalu, jatuh sekali lagi pada sesi latihan kedua dan mendarat di bahagian yang sama. 

Menurut penganjur perlumbaan, plat titanium yang dipasang dengan lapan skru selepas insiden di Assen bengkok akibat kemalangan itu, menyebabkan Lorenzo kesakitan yang teramat sangat, walaupun pin tidak tercabut. 

Akibatnya, penunggang Yamaha berusia 26 tahun itu terpaksa menarik diri daripada perlumbaan dan diterbangkan pulang ke Barcleona sejurus selepas kemalangan tersebut untuk menjalani pembedahan.
"Saya memutuskan untuk pulang ke tanah air dan menjalani rawatan akibat kemalangan di Sachsenring. Saya lebih suka memberi tumpuan kepada pembedahan untuk membetulkan plat yang telah bengkok akibat kemalangan.

"Saya akan cuba pulih dan kembali ke trek secepat yang mungkin," kata Lorenzo. 

    Walaupun dia bangun dengan cepat selepas meninggalkan trek pada pusingan keempat, Lorenzo dilihat memegang bahu dan menekannya dengan pek ais sebelum memasuki kereta menuju ke pusat perubatan litar.

     Insiden itu berlaku tidak lama selepas pelumba Jerman, Stefan Bradl mencatat masa terpantas pada sesi latihan kedua di depan penyokong tuan rumah dengan kepantasan 1 minit, 22.030 saat - 0.017s meninggalkan Lorenzo. Lorenzo mencatat masa terpantas pusingan 1:22.47s pada sesi latihan sebelah pagi. 

Penunggang Sepanyol itu menamatkan cabaran GP Belanda pada 26 Jun di tangga kelima biarpun terlibat dalam kemalangan pada sesi latihan dua hari sebelum perlumbaan. 

"Di Belanda, saya mengharungi sepanjang perlumbaan dengan menahan kesakitan. Saya akui saya agak takut tetapi saya berjaya menamatkan cabaran di tangga kelima dan hanya melepaskan dua mata (kepada Dani Pedrosa). Itu perkara paling penting," kata Lorenzo. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan