Ahad, 14 Julai 2013

Moyes bangga bimbing United



MOYES (kanan) mengendalikan sesi latihan United di Stadium Rajamangala Bangkok, Thailand semalam.


BANGKOK, Thailand - David Moyes mengakui bahawa dia amat berbangga dengan pemain-pemain Manchester United yang diwarisi daripada Alex Ferguson.

United berdepan dengan skuad pilihan bintang Singha, Thailand dalam aksi pembukaan jelajah pra-musim ke Asia dan Australia.

Pengurus dari Scotland itu memuji sikap profesional dan mentaliti yang mahukan kejayaan daripada pemain-pemain yang ditinggalkan oleh Ferguson itu kepadanya.

"Saya sangat bangga, tetapi saya lebih teruja untuk bekerja dengan pemain-pemain ini.
"Mereka mampu memberi kebanggaan kepada mana-mana pengurus dan mereka sebenarnya telah pun membanggakan saya.

"Saya boleh lihat keupayaan mereka tetapi paling utama ialah sikap profesional mereka. Ia tidak boleh dinafikan.

"Komitmen mereka untuk bergelar juara juga tidak boleh dipandang rendah. Saya telah melihatnya dalam latihan. Saya tidak terkejut mengenainya, tetapi saya gembira melihat mereka amat komited dalam setiap latihan," kata Moyes sebelum perlawanan semalam.

Dengan masa yang singkat dan ketiadaan pemain seperti Wayne Rooney, Robin van Persie, Javier Hernandez, Nemanja Vidic dan Shinji Kagawa pada aksi malam tadi, Moyes masih tercari-cari ramuan yang sesuai dalam jelajah ini.

"Ini peluang pertama saya mengendalikan United dan ia mengambil sedikit masa untuk kami mengenali kemampuan satu sama lain. Namun, itulah cabaran dalam bola sepak.

"Kami akan cuba memberikan kepada semua pemain peluang beraksi sebanyak mungkin. Kami akan lihat juga bagaimana kemampuan pemain muda. Jelas sekali kami gunakan perlawanan ini sebagai persiapan awal musim ini," jelasnya lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan