Ahad, 14 Julai 2013

United, City pencabar utama Chelsea - Cech


LONDON - Penjaga gol Chelsea, Petr Cech menganggap dua musuh tradisi, Manchester United dan Manchester City tetap pasukan yang hebat pada musim depan meskipun kedua-dua pasukan itu menampilkan pengurus baharu.

Juara Liga Perdana England, United bakal dikemudikan oleh David Moyes, manakala Manuel Pellegrini dilantik sebagai pengurus skuad The Citizens.

Pengurus skuad The Blues, Jose Mourinho pula bukan individu asing apabila beliau kembali membimbing kelab dari London itu.

Namun Cech berkata, perebutan liga akan bertambah sukar biarpun menyaksikan banyak perubahan berlaku di United dan City.

"Kami mahu melakukan kerja sebaik mungkin dan berusaha gigih untuk mencapai matlamat kami.
"Ia agak sukar untuk menyaksikan siapakah lebih hebat sebelum kempen Liga Perdana England bermula.

"Jika anda bercakap mengenai kehebatan United dan City, mereka berjaya mengekalkan pemain-pemain hebat selain memperkuatkan pasukan dengan memburu pemain baharu.

"Malah, sekiranya mereka memiliki pengurus baharu sekalipun, mereka masih memiliki pemain yang sama dan pemain yang lebih berkualiti dalam skuad mereka.

"Perkara ini akan memberikan motivasi baharu kepada mereka di bawah bimbingan pengurus baharu dan apa yang pasti, ia akan menjadikan persaingan sengit untuk memburu kejuaraan," kata Cech pada sidang akhbar Jelajah Asia di Bangkok semalam. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan