Sabtu, 13 Julai 2013

Nadal janji bangkit

NADAL bakal menebus kegagalannya di Wimbledon dengan berjanji untuk bangkit di Terbuka AS, Ogos ini.


STUTTGART, Jerman - Rafael Nadal (gambar) optimis akan bangkit semula pada Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas tewas mengejut di pusingan pertama Wimbledon. 

Kekalahan pemain berusia 27 tahun itu kepada pemain Belgium, Steve Darcis pada hari pertama kejohanan, turut dikaitkan dengan kecederaan lutut yang dialaminya sebelum ini. 

Bagaimanapun, jurulatihnya, Toni Nadal menegaskan, juara grand slam 12 kali itu sudah kembali pada tahap sebenar dan akan memulakan latihan dalam masa terdekat untuk menghadapi Terbuka AS yang membuka tirai pada 26 Ogos nanti. 

"Nadal akan kembali. Dia tidak ada masalah bermain di gelanggang keras," tegas Toni yang juga merupakan pakcik kepada pemain No. 4 dunia itu. 

"Kini, Nadal hanya memberi tumpuan terhadap latihan fizikal. Tempoh berehat ini amat penting kerana dia menyertai begitu banyak kejohanan sepanjang tahun," tambah Toni. 

Toni juga menjelaskan Nadal akan kembali ke Jelajah ATP dengan menyertai Montreal Masters, diikuti Cincinnati sebelum Terbuka AS. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan