Ahad, 7 Julai 2013

Spurs mulakan gerakan ikat Bale

LONDON - Tottenham Hotspurs akan cuba melengkapkan perjanjian baharu dengan Gareth Bale sebaik sahaja pemain itu pulang dari bercuti dan menjalani latihan minggu depan.


Pengurus Spurs, Andre Villas-Boas dan pengarah teknikal, Franco Baldini akan memulakan usaha tersebut bagi meyakinkan Bale supaya meneruskan komitmennya di White Hart Lane sekurang-kurangnya semusim lagi.

Spurs juga dilaporkan sanggup melepasi had bayaran gaji mereka dan menawarkan pemain berharga £70 juta (RM332.4 juta) itu pendapatan £170,000 (RM807,358) seminggu sekiranya dia bersetuju untuk kekal.

Ketika ini Real Madrid dan Manchester United dalam keadaan terbaik untuk mendapatkan khidmat perancang Wales itu.

Spurs sedar dua kelab gergasi Eropah itu akan cuba mendapatkan Bale sekali lagi musim depan kerana peluang kelab London itu dalam proses mengekalkannya semakin tipis apabila dia memasuki dua tahun terakhir dalam kontrak asalnya.

Pemain-pemain Spurs akan kembali menjalani latihan pra-musim hari ini dan Bale, 23, dijangka turut menyertai kumpulan pemain tersebut.

Villas-Boas mempunyai hubungan yang baik dengan Bale dan akan mengumumkan misi dan objektif Spurs bagi saingan musim ini.

Baldini juga bakal memainkan peranan penting dalam usaha memastikan Bale gembira di White Hart Lane setelah dia berjaya menjalankan tugasnya dengan baik sebelum ini.

Bekas jurulatih England, Fabio Capello pernah meminta pertolongan Baldini untuk berbincang dengan pemain serta ejen mereka mengenai isu-isu sensitif kerana pengarah teknikal dari Itali itu mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan