Isnin, 1 Julai 2013

United cadang naik gaji De Gea

MANCHESTER - David De Gea bakal menerima kenaikan gaji sebagai ganjaran ekoran prestasi cemerlangnya di Manchester United, musim lepas.


Penjaga gol itu yang masih memiliki kontrak sehingga 2016, menerima bayaran di Old Trafford sebanyak 55,000 pound (RM264,266) seminggu.

Namun, United merancang untuk berunding dengan wakil pemain berusia 22 tahun itu pada musim panas ini bagi membincangkan kenaikan gajinya kepada 75,000 pound (RM360,362) dan mengenai perpindahannya ke Barcelona.

Pemain Sepanyol itu, yang baru selesai membantu negaranya menjulang Kejuaraan Eropah Bawah 21 tahun, pernah dikaitkan menjadi calon pengganti penjaga gol Barca, Victor Valdes sebelum dia memutuskan untuk kekal lagi setahun.

De Gea masih memiliki peminat yang ramai di Nou Camp dan United amat sedar dia merupakan pengganti terbaik apabila Valdes akhirnya meninggalkan kelab tersebut.

United berharap dengan kenaikan gaji beserta penyambungan kontrak selama dua tahun, akan memaksa Barcelona menghala pencarian mereka ke tempat lain iaitu penjaga gol Liverpool, Pepe Reina yang merupakan alternatif terbaik.

De Gea bernilai 17.8 juta pound (RM85.5 juta) sewaktu United membelinya dari Atletico Madrid dua tahun lalu, bermula dengan prestasi yang agak goyah sewaktu memulakan kariernya di Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, pada penggal lalu dia merupakan bintang United yang mempamerkan permainan cemerlang bagi membantu kelab itu merangkul gelaran liga kali ke-20 dan dinamakan sebagai Pemain Terbaik United musim lalu.

Kepulangan De Gea untuk menyertai sesi latihan pra-musim di bawah kendalian boss baru, David Moyes ditangguhkan kerana dia hanya menamatkan musimnya 12 hari lalu iaitu sewaktu Sepanyol menundukkan Itali 4-2 pada perlawanan akhir Bawah 21 tahun di Israel.

Sementara itu, United juga dikhabarkan memburu bintang muda Turki, Salih Ucan yang beraksi pada Piala Dunia Bawah 20 tahun. Namun, perpindahan pemain tengah Fenerbahce berusia 19 tahun itu mungkin membabitkan kos 17.1 juta pound (RM82 juta) seperti yang tercatat dalam klausa kontraknya bersama kelab gergasi Turki tersebut. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan