Sabtu, 13 Julai 2013

United hantar Rooney pulang



TINGGAL REPLIKA...Beberapa wanita Thailand kempunan kerana hanya dapat bergambar dengan patung Rooney sahaja semalam apabila pemain itu dihantar pulang oleh United beberapa jam selepas tiba di Bangkok, Thaiand.


LONDON - Wayne Rooney terpaksa menempuh penerbangan selama 22 jam pergi dan balik selepas terpaksa dihantar pulang daripada menyertai Jelajah Asia Manchester United.

Penyerang England itu baharu beberapa jam tiba di Bangkok dan terus menjalani latihan sebelum ditimpa kecederaan hamstring yang menyebabkan dia terpaksa dihantar pulang.

Meskipun kelab juara Liga Perdana England itu menegaskan Rooney hanya cedera ringan, United tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghantarnya pulang untuk menerima rawatan.
United mengeluarkan kenyataan bahawa penyerangnya itu mungkin terpaksa berehat selama sebulan, namun apa yang anehnya, Rooney kemudian tampil menjelaskan keadaannya bukan sesuatu yang membimbangkan.

Bintang The Red Devils itu menulis dalam laman sosial Facebook: "Sedih sekali kerana mengalami kecederaan kecil tatkala sesi latihan berjalan dengan baik sekali.

"Sekarang terpaksa pulang semula ke Manchester untuk menjalani rawatan, tetapi tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan."

Selepas menempuh penerbangan selama 16 jam ke Thailand dan menjalani satu sesi latihan, Rooney terpaksa menuju semula ke lapangan terbang untuk menempuh 11 jam lagi penerbangan pulang.
Situasi ini mula mencetuskan pelbagai teori, terutamanya mengenai masa depan Rooney yang semakin tidak menentu di Old Trafford.

United dalam kenyataannya menjelaskan: "Selepas menjalani imbasan terhadap masalah hamstring yang dialaminya ketika latihan, kami memutuskan bahawa Wayne perlu dihantar pulang dengan segera bagi mendapatkan rawatan lanjut. Dia dijangka berehat selama sebulan."

Meskipun pengurus baharu United, David Moyes menegaskan Rooney tidak akan dijual, pemain itu sendiri bagaimanapun masih belum membuat pendiriannya terhadap masa depannya di Old Trafford.
Ketika ini Arsenal, Chelsea, Real Madrid dan Paris Saint-Germain sedang memantau perkembangan Rooney dan ironinya, The Blues turut tiba di Bangkok pada hari semalam. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan