Sabtu, 13 Julai 2013

Suarez: Gunners tawar harga baharu


Luis Suarez (kiri) masih menjadi pemain idaman Arsenal. - AFP
LONDON - Arsenal bersedia untuk mengemukakan tawaran baharu bagi mendapatkan bintang penyerang Liverpool, Luis Suarez selepas pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti mahu mengekalkan pemain yang diburu oleh kelab London itu, Gonzalo Higuain.

The Gunners bagaimanapun tidak boleh mengemukakan tawaran kurang daripada 40 juta pound (RM192 juta) jika mahu sekurang-kurangnya memujuk Liverpool untuk mempertimbangkan penjualan Suarez. 

Malah, Arsenal sudah bersedia meningkatkan tawaran bagi membeli penyerang kontroversi Uruguay itu selepas tawaran awal 30 juta pound (RM145 juta) ditolak oleh The Reds, minggu lalu. 

Setakat ini, pendirian Liverpool tidak berubah, Suarez bukan untuk dijual walaupun pemain itu pernah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan Anfield. Selain Arsenal, Suarez turut menarik minat gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid; juara Eropah, Bayern Munich, Chelsea dan kelab Itali, Napoli. 

Bagaimanapun seperti yang berlaku ketika mereka kehilangan bintang penyerang Sepanyol, Fernando Torres kepada Chelsea pada 2011, Liverpool sedar setiap pemainnya mempunyai harga.

Mereka mungkin bersedia untuk duduk berunding dengan Gunners jika kelab London itu menawarkan 40 juta pound. 

Begitupun situasi semasa tidak menyebelahi Arsenal kerana Suarez lebih berminat untuk meninggalkan England dengan Real menjadi pilihan utamanya. 

Liverpool hanya akan membuat pertimbangan jika penyerang berusia 26 tahun itu sendiri mengemukakan permohonan rasmi untuk meninggalkan kelab bagi membuktikan kepada peminat The Reds bahawa mereka telah melakukan apa saja yang termampu untuk mengekalkan pemain tersebut. 

Arsenal beralih arah kepada Suarez selepas usaha mereka untuk mendapatkan bintang penyerang Argentina, Higuain kini hampir menemui jalan buntu. Ironiknya, Suarez juga pada awalnya menjadi pilihan Real untuk dibawa ke Bernabeu sebagai pengganti Higuain jika pemain itu dijual kepada Gunners

Arsenal hanya bersedia menawarkan 23 juta pound (RM110 juta) untuk mendapatkan Higuain, namun Real menuntut harga yang lebih tinggi daripada itu.

Lebih merumitkan keadaan, Ancelotti mahu Higuain berada dalam perancangan skuad utamanya musim depan kerana mereka baru melepaskan Jose Callejon yang dijual kepada kelab Itali, Napoli. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan