Ahad, 14 Julai 2013

Kecederaan hamstring punca tidak lapor diri Piya sedia jawab


PIYA bersedia menjawab surat tunjuk sebab yang dikemukakan FAM

berhubung kegagalannya melapor diri pada sesi latihan bersama skuad kebangsaan, Khamis lalu.


KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi atau Piya bersedia menjawab surat tunjuk sebab yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalannya melapor diri pada sesi latihan bersama skuad kebangsaan, Khamis lalu.

Piya berkata, dia akan mengemukakan surat tunjuk sebab tersebut bersama dengan laporan pemeriksaan kesihatan yang dibuat oleh doktor di Kota Bharu, Kelantan sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super bertemu Lions XII pada 6 Julai lalu.

Menurutnya, selepas menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan dia mengalami kecederaan hamstring dan menasihatinya supaya berehat selama dua minggu daripada menjalani sebarang latihan.

"Jika mahu surat tunjuk sebab, saya bersedia mengemukakannya bersama dengan laporan perubatan yang dibuat sebelum ini termasuk laporan pegawai fisioterapi pasukan.

"Sebelum ini, saya telah menghubungi penolong jurulatih (Tan Cheng Ho) bagi memaklumkan kecederaan yang dialami. Namun, dalam masa yang sama dia (Cheng Ho) menyuruh saya hadir dan membuat laporan.

"Namun, mengikut kata doktor yang membuat pemeriksaan sebelum ini, beliau menyuruh saya mengikuti sesi rawatan di sini (kota Bharu)," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, sekiranya FAM masih belum puas hati dengan laporan itu, dia bersedia ke Kuala Lumpur untuk melaporkan diri bersama pasukan kebangsaan.

Kosmo! semalam melaporkan, Kapten Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi atau Piya bakal berdepan tindakan daripada FAM ekoran kegagalannya melapor diri untuk sesi latihan skuad Harimau Malaya yang bermula kelmarin.

Pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan, perancang The Red Warriors itu akan diberikan surat tunjuk sebab kerana masih tidak menyertai kem latihan tanpa memberi sebarang alasan.

Menurut Subahan, setiap pemain yang disenaraikan bagi mengikuti kem latihan Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih, Datuk K. Rajagobal wajib melaporkan diri meskipun mengalami kecederaan.

Piya antara tujuh pemain Kelantan termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim, Azizi Mat Rose, Mohd. Shakir Shaari, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani yang dipanggil untuk bersama skuad kebangsaan sebagai persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bulan ini.

Pemain yang terkenal dengan 'hantaran maut' itu berada pada kelas tersendiri apabila menjadi ketua pasukan pertama yang mendakap kesemua kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Pemain kelahiran Kampung Atas Paloh itu membantu Kelantan merangkul kejuaraan trabel musim lalu dan mempertahankan Piala FA buat kali kedua berturut-turut tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Piya memberitahu, dia sedikit terkilan kerana tidak dapat bersama rakan-rakan sepasukan untuk membantu negara membuat persiapan.

"Apa boleh buat, kecederaan yang dialami ini membataskan saya untuk berbuat demikian."

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan