Ahad, 14 Julai 2013

Zairul Fitree tekad balas kepercayaan





JUARA Piala FA, Kelantan mahu menggunakan kesempatan beraksi pada Kejuaraan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebagai medan pemanas badan menjelang saingan Piala Malaysia.

Tonggak pertahanan skuad The Red Warriors, Zairul Fitree Ishak (gambar) berkata, perlawanan tersebut bakal menjadi medan terbaik untuk menguji kekuatan pasukan sebelum memulakan cabaran dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua musim ini.

"Bagi saya, perlawanan ini amat penting untuk kita mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pasukan sebelum saingan Piala Malaysia bermula.

"Aksi ini mungkin boleh menjadi kayu pengukur buat Kelantan menjelang saingan tersebut nanti," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kota Bharu semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan, dua wakil negara, Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal beraksi pada Kejuaraan FAM dan FAS pada 12 hingga 13 Ogos depan.

Pemilihan Kelantan dan ATM pada kejohanan yang julung kali diadakan itu berdasarkan pencapaian kedua-dua pasukan itu pada saingan Liga Malaysia (Liga M) 2012.

Pada kejohanan itu, Kelantan dijadualkan menentang juara Piala FA Singapura, Tampines Rovers manakala ATM bertemu Juara Piala Singapura Warriors FC.

Zairul Fitree memberitahu, dia dan rakan-rakan sepasukan bersedia menggalas nama negara bagi merebut Kejuaraan yang julung kali diadakan itu.

Katanya, pemilihan Kelantan sebagai wakil negara merupakan satu pengiktirafan buat pasukannya selepas berjaya melakar kejuaraan treble pada musim lalu.

Jelasnya, selaku wakil negara, dia dan rakan-rakan sepasukan berjanji akan memberikan aksi terbaik pada kejohanan tersebut, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

"Ini merupakan peluang terbaik buat Kelantan untuk membalas kepercayaan yang diberikan dengan mempamerkan aksi terbaik pada kejohanan tersebut," ujarnya.

Mengulas mengenai peluang dalam saingan Piala Malaysia, Zairul Fitree berkata, Kelantan tidak mengambil mudah cabaran pasukan-pasukan lain yang beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

"Semua pasukan mempunyai peluang sama rata, begitu juga dengan Kelantan. Apa yang pasti kami akan bermain habis-habisan pada setiap perlawanan yang dilalui selepas ini," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan