Ahad, 14 Julai 2013

Medan terbaik uji mental pemain - Sathianathan


JURULATIH Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan menganggap Kejuaraan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menjadi medan terbaik untuk menguji skuad kendaliannya.

Sathianathan berkata, kejohanan itu dilihat sebagai alternatif untuk menguji para pemain terutamanya barisan pemain muda skuad The Gladiators sebelum mengharungi kempen Piala Malaysia tahun ini.
ATM selaku wakil kedua negara selepas Kelantan akan menentang juara Piala Singapura, Warriors FS (SG) pada 13 Ogos depan.

Bekas jurulatih Kelantan itu berkata, beliau tidak mahu barisan pemainnya mengambil mudah biarpun aksi itu dianggap sebagai medan pemanas badan untuk Piala Malaysia.

"Sudah tentu kami bangga sebab terpilih sebagai salah satu wakil negara beraksi dalam Kejuaraan FAM dan FAS itu.

"Apa yang pasti, ia merupakan satu ujian buat ATM sebelum mengharungi kempen Piala Malaysia yang akan bermula pada 17 Ogos depan.

"Mungkin saya akan tumpukan kepada pemain-pemain muda untuk diketengahkan pada aksi ini, tetapi dalam masa yang sama, saya menuntut satu sikap serius, komitmen dan kesungguhan daripada setiap pemain ATM.

"Saya mahu mereka menang satu piala dan kami berharap persiapan ATM akan berjalan dengan baik untuk kejohanan itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Sathiantahan mengakui cabaran lebih sukar menanti The Gladiators kerana beliau yakin persembahan skuad kendaliannya akan terjejas apabila bermain atas padang rumput tiruan.

"Jika main di Stadium Jalan Besar, kemungkinan kami akan berdepan kesukaran kerana susah untuk beraksi di atas padang rumput tiruan.

"Kami anggap kejohanan ini sebagai sebahagian daripada sesi latihan kami sebelum mengharungi kempen Piala Malaysia.

"Saya harap kepulangan Hairuddin Omar dan Marlon Alex James yang baharu pulih dari kecederaan, mampu memberikan keputusan positif kepada pasukan ini," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan